Thursday, April 28, 2011

Kehidupan Yang Sementara

Wahai saudara-saudara
Dunia ini cuma sementara
Bila sudah sampai masa kita
Izrail datang mencabut nyawa
Mati pasti datang untuk setiap manusia
Masa itu tidak dapat lari ke mana
Walaupun dikawal polis dan tentera
Tiada siapa boleh menghalangNya
Tinggallah kawan-karib sanak-saudara
Tinggallah rumah kereta dan harta
Tiada satu pun boleh dibawa
Kecualilah amal dan taqwa

Tinggallah sendiri dalam keranda
Tanpa ditemani oleh sesiapa
Menunggu malaikat untuk ditanya
Siapa tuhan kamu Marabukka
Kalau kita bertuhankan manusia
Kalau tuhan kita Ringgit Malaysia
Kalau kita sangsi dan kurang percaya
Yang Allah ialah Maha Pencipta
Yang bumi ini milik Allahuatala
Lidah kita tidak akan berdusta
Maka lidah akan berkata-kata
Kita tidak akan dapat lebihan masa
Tak boleh berpatah balik ke dunia
Menyesal pun tidak berguna
Nah masuk kamu ke dalam neraka
Yang dipenuhi azab sengsara

Hukuman bagi yang engkar
Mereka yang tidak mahu dengar
Tidak percaya Allah Maha Besar
Mereka inilah golongan kufur tegar
Walaupun sudah tua tapi tak sedar
Jikalau berjanji mereka engkar
Jikalau berhutang mereka tak bayar
Tak kiralah dengan along atau chetiar
Atau yang merompak bermiliyar-miliyar
Sedangkan rakyat hidup miskin tegar

Tinggalkan solat Isya Subuh serta Asar
Solat puasa haji zakat selalu tersasar
Perkara dunia senang tapi akhirat sukar
Kalau soal bangsa semangat berkobar
Kalau soal agama semangatnya pudar
Membuat fitnah besar lalu disebar
Menggunakan media dan jalur lebar
Termasuklah alam siber dan suratkhabar
Sedangkan Aishah pun difitnah inikan Anwar

Perkara aqidah mereka buat-buat kelakar
Kafirkan sahabat nabi AbuBakr dan Umar
Imam MasjidilHaram pun juga diselar
Mereka bertopengkan ijazah dari Azhar
Walaupun kepala dililit serban besar
Kata-kata nista macam mulut lasar
Golongan Ahbash suka buat tuduhan liar
Malangnya bergerak bebas tulisan disiar
Golongan inilah yang selalu buat mangkar
Maka siksaan Allah amat dasyat didalam Nar

Keris Silau
28 April 2011

Wednesday, April 20, 2011

Aku Mencari-Cari

Aku Mencari-Cari

Aku sedang mencari-cari
Agama yang aku mahu anuti
Aku lihat orang Islam disini
Mereka yang ramai di Serenti
Sebab ingin jadi doktor sendiri
Injek dadah dan ambik ecstasy
Termasuk artis dan penyanyi
Ramai juga digantung akta 39B
Mengedar dan dihukum mati

Lalu aku mencari di universiti
Mungkin ada contoh boleh diikuti
Bila azan Subuh pada awal pagi
Ramai terus tidur tidak peduli
Mungkin mereka penat study
Menghabiskan masa di library
Namun bila ada Hari Konvokasi
Tak ramai pelajar-pelajar Bumi
Yang dapat First Class Degree
Cukup makan aja dapat degree
Menuntut ilmu bukanlah prioriti

Tapi bila ada hiburan
Jom heboh atau kugiran
Sekarang ada pula AF ke 9
Paling popular jadi tumpuan
Live dibuat Anada Krishnan
Maka ramai berpusu-pusuan
Sehingga jem kat jalan-jalan
Mau melihat artis tempatan
Menjerit-jerit bertempetan
Aku menjadi semakin hairan
Mereka yang mengaku beriman
Islam sebagai agama ikutan
Beginikah contoh Muslim budiman

Kemudian gempar pula video lucah
Dato SK kata itu anugerah Allah
Diaibkannya Anuar dan Azizah
Satu Malaysia percaya ianya fitnah
Dato SK kata ini jawapan dari Allah
Sebab dia telah menunaikan haji di Makkah
Dan ketiga-tiga T itu sanggup bersumpah
Bersumpah laknat dihadapan Kaabah
Inikah Muslim yang bershaksiah
Adakah ini contoh terbaik ummah
Untuk yang belum lafaz shahadah

Oh banyak lagi contoh yang punah
Merekalah banyak makan rasuah
Ramai pula yang pecah amanah
Hatta dalam pembinaan masjid Allah
Disonglap AJK masjid dan qaryah
Ramai pula buang bayi tanpa nikah
Sebab kahwin susah berzina mudah
Ramai pula pengotor buang sampah
Tak kira di longkang atau di rumah
Guna ilmu hitam yang bercanggah
Walaupun digelar ustaz atau ustazah

Aku masuk Islam kerana AlQuran
Kalau aku lihat orang Islam tempatan
Maka timbul banyak kehairanan
Adakah orang Islam contoh tauladan
Seharusnya Islam membawa kekuatan
Islam sepatutnya membina keperibadian
Habis kenapa ramai yang ketinggalan
Apa kita nak jawab kat Tuhan?

Keris Silau
20 April 2011

Monday, April 18, 2011

ABC atau KFC? (versi terbaru)

Sebelum anak-anak belajar ABC
Mereka sudah pandai mengeja KFC
Atau pun mereka sudah kenal McD
Makanan kegemaran satu famili
Dan iklan meluas fast food industry
Itulah satu faktor meningkatnya obesiti
Dan peningkatan penyakit diabesity
Penyakit diabetes disebabkan obesiti
Diabetes pada peringkat umur muda lagi

Sukan fizikal kurang disekolah dan kindy
Banyak main games kat PS2 dan PC
Itu banyak menggunakan senaman jari
Kurang sangat bersukan sebagai hobi
Main bola renang atau lumba lari
Melepak merupakan satunya aktiviti
Makan junkie sambil tengok tv dan movie

Ditambah pula makanan berlemak tinggi
Makan nasi lemak roti canai pagi-pagi
Kueh-mueh roti telur dan pulut inti
Nasi kandar dan nasi goreng di tengahari
Singgah Mc D order Big Mac and McFlurry
Mee goreng mamak dan sifu mee kari
Malam makan koay teow dan tandoori
Mee segera seperti Maggi dan Mamee
Dikantin dijual makanan tak berkualiti
Sotong ball nugget coke dan pepsi
Benda tu semua akan tersekat di arteri
Jangan hairan muda-muda dah mati
Walaupun mati ditentukan oleh Ilahi

Tukar diet bagi roti serat tinggi
Banyak makan sayur yang leafy
Buah-buahan yang banyak Vitamin C
Kuatkan antioksidan dan antibodi
Karbohidrat yang memberi energi
Telur setengah masak sekali sehari
Sumber protin yang murah dan asli
Asalkan bukan telur buatan sendiri
Lemak seperti ikan kod baru jadi brainy
Otak yang sihat dan ada jati-diri
Jangan bergantung kepada air jampi
Walaupun diendorse Ismail Dictionary
Untuk menguatkan otak dan memori
Makan protin soya dan Vitamin B
Anak yang sihat akan rajin studi
Anak yang obese pula banyak MC
Oleh itu biar dia kenal ABC sebelum KFC.

Keris Silau
18 April 2011

Monday, April 11, 2011

Undi Tak Percaya

Percayalah kat saya
Rayu PM One Malaysia
Taib akan undur segera
Nampak risau benar ya
Fixed deposit dalam bahaya
Macam nak jadi tsunami kedua
PM dan TPM tinggalkan kerja
Tumpu masa kat pilihanraya
Tunggu kemunculan Bik Mama
Demi membantu suami tercinta
Mungkin naik heli lagi agaknya
Satu dah jatuh jadi jaga-jaga
Mungkin itu juga Satu petanda

Mohon SPR semak kira-kira
Pastikan wang rakyat tidak diguna
Bukan harta mak bapak dia yang punya
Ceramah BN ramai rebut hadiah percuma
Ceramah Pakatan ramai bagi duit derma
Orang datang nak tengok Nana
Kesian kena fitnah satu keluarga
Video dah kantoi kini isu jam Omega
Ceramah BN dapat kemeja T 1Malaysia
Burger dan air botol sebagai gula-gula
Ceramah Pakatan ramai yang meniaga
Bihun sup jagung bakar dan laksa
Orang ramai sanggup berdiri lama
Nampak tak apa yang berbeza

Sarawak negeri yang kaya
Tapi hartanya dirampas buaya
Buaya dua kaki Guang Eng kata
Buaya dua kaki ini banyak bahaya
Ngap sayot kalau tak apa
Tapi ini ngap tanah dan harta
Nanti bila free kitak tengok peta
Harta dia bernilai ribuan juta
30 tahun jadi Cahaya Mata
Dia antara yang terkaya didunia
Rakyat hidup papa kedana
Tapi Pehin kata dia tak kaya
Satu Malaysia tak sapa percaya
Oleh itu kasi dia undi tak percaya

Keris Silau
11 April 2011

Friday, April 08, 2011

Kegawatan Aqidah

Apa jadi dengan orang kita?
Itu tajuk forum ehwal semasa
Ahli panel hebat-hebat belaka
Para cendiakawan dan prof madya
Yang bergelar datuk atau ulama
Membahaskan isu yang melanda
Melanda orang tua dan orang muda
Orang dewasa dan juga remaja
Tokoh politik dan rakyat biasa
Ahli korporat dan golongan pekerja

Apa jadi dengan orang kita?
Masalah kegawatan aqidah agama
Gawatnya aqidah macam satu bencana
Walaupun kita tiada tsunami atau gempa
Aqidah kita bak tsunami di Sumatera
Indeks aqidah kita jatuh banyak anak tangga
Seharusnya kita hebat kerana agama kita
Aqidah yang bertunjangkan Allah Maha Esa
Yang menganjurkan akhlak dan nilai mulia
Namun kita memilih jalan yang gelap gelita
Walaupun kita sebenarnya memiliki cahaya

Apa jadi dengan orang kita?
Kita lebih gemar menganjurkan pesta
Kita lebih suka berhibur mari berdansa
Hiburan percuma di ambang merdeka
Arak dan rokok semuanya ditaja
Itu yang kita sajikan setiap masa
Kita paparkan lucah di akhbar perdana
Kita siarkan keaiban dalam media prima
Orang politik sanggup buat apa saja
Demi untuk mereka kekal berkuasa
Saban tahun lapuran Ketua Audit Negara
Disana sini ketirisan dan tiada sebutharga
Beli kapal selam komisen sampai 500 juta
Namun lapuran cuma di arkibkan saja
Yang menyeleweng dibiar tanpa bicara

Apa jadi dengan orang kita?
Maka terjadilah kemungkaran berleluasa
Rasuah dan pecah amanah amalan biasa
Dari ikan bilis hingga merong mahawangsa
Kita suka memaparkan dosa-dosa
Pakaian yang ketat dan menjolok mata
Kawin disusahkan lebih mudah berzina
Maka terjadilah buang bayi merata-rata
Talian Nur cuma batuk ditangga
Jenayah bunuh tiap-tiap hari di berita
Bunuh saudara bunuh gadis mongolia
Penagihan dadah kronik dikalangan remaja
Mat-mat rempit jadi raja dijalanraya

Apa jadi dengan orang kita?
Adakah kita kekurangan alim ulama
Tidak malahan ramai lulusan agama
Tapi ramai yang menjual agama mereka
Menjual agama demi pangkat dan harta
Mereka juga suka mengejar gelayma
Gemar mendampingi golongan berada
Berdaawah dari bilik dingin yang selesa
Makan minum pakaian orang jaga
Hari kebesaran dapat datuk paduka
Isu yang besar tak keluar fatwa
Isu khilaf dijadikan agenda utama

Apa jadi dengan orang kita?
Sebab jalan gelap pilihan kita
Walaupun kita memiliki cahaya
Itu kata Abul Ala Maududi ulama terkemuka
Junjungan kita Rasulullah juga bersabda
Kutinggalkan untuk kamu dua perkara
Supaya kamu tidak tersesat selama-lamanya
Selama kamu masih berpegang kepada duanya
Iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya
Namun Melayu mudah lupa dan alpa
Sebab tu pertimbangan kita tersasar landasannya
Kita rela guna akal semata-mata
Tanpa panduan dan wahyu Allahutaala

Keris Silau
8 April 2011

Thursday, April 07, 2011

Kami Sudah Meluat

Temanya Penyebar Fikiran Rakyat
Sebenarnya Penyebar Fitnah Rakyat
Sapa lagi kalau bukan Utusan Meluat
Meloya aku tengok orangtua buka aurat
Agaknya kepala editor tu dah karat
Tak pikior apa berita yang nak turunmuat
Memang kamu layak digelar musibat
Maaf ustaz aku guna bahasa kesat
Dulu dalam parti engkaulah sahabat
Cium tangan peluk badan erat-erat
Lihatlah sekarang apa yang kau buat
Mengaibkan saudaramu dengan niat
Bagimu satu siksaan yang amat dasyat
Janji Allah pasti datang di akhirat
Elok kamu para editor segera taubat
Kamu sudah buat kesalahan yang berat
Walaupun menurut perintah suruh buat
Kamu telah dianggap bersyubahat
Termasuklah orang yang percaya bulat-bulat
Tanpa mengambil kira ayat Surah Hujurat
Kalau orang fasik bawa berita kena siasat
Jangan kamu panjangkan cerita muslihat
Lebih baik diam dan dengar nasihat
Itu pun kalau kamu takut siksaan akhirat
Setengah kamu tidak yaqin Hari Qiyamat
Lidah kamu mudah sebut fitnah yang sesat
Kalau kamu yaqin adanya hari qiyamat
Kamu akan segera istighfar dan taubat
Kamu akan terus ambil wudu dan bersolat
Syaitan dikelilingmu mestilah beringat
Aku tahu lepas ni kamu akan naik pangkat
Dari editor boleh naik jadi wakil rakyat
Lepas tu jadi menteri atau penasihat
Banyak habuan dunia akan kamu dapat
Darjah kebesaran dan pingat-pingat
Boleh duk semeja dengan yang hebat-hebat
Namun bila Allah hantar malaikat
Tak ada siapa yang dapat selamat.

Keris Silau
April 7 2011

Tuesday, April 05, 2011

Politik Longkang

Kita menyampah politik longkang
Tak kira dari BN atau pembangkang
Jangan duk sibuk siapa yang kangkang
Bagi kot depan atau bagi kot belakang
Anak dara kampung atau dari Sinkang
Rogol gadis atau rogol amah seberang
Tunjuk porno mat boroi siang-siang
Tayangan perdana di hotel lima bintang
Tak ada cerita lain ke nak tayang
Tak ada benda lain yang nak ulang
Dok asyik pikir nak buat cerita ranjang
Geli aku tengok orang tua telanjang
Kamu semua tak malu ke kat orang
Kat budak yang masih belum matang
Malu tengok orang tua-tua bangang
Dah tua bangka buat kerja songsang
Dah tua elok pergi masjid sembahyang
Jadi tok bilal ka masuk waktu terus bang
Atau tok siak cuci masjid atau korek liang
Boleh juga ingat mati yang bakal menjelang
Ini pergi cara bala selak kain orang
Mana orang kampung tak meradang
Taubatlah sebelum malaikat maut datang
Berpolitiklah dengan cara yang matang
Kita berjuang bukan nak kaya nak senang
Demi prinsip dan matlamat itu yang dijuang


Keris Silau
5 April 2011

Monday, April 04, 2011

Seloka Khas untuk Orang Sarawak

16 April pilihanraya Sarawak
Ditentukan Taib bukan Ann Razak
Bukan keputusan Tun punya anak
Kapalterbang baru bertolak
Pehin umum kepada juak-juak
Ann Razak dan Tok Muh tersentak
Bumi belum sempat dipijak
Outsmart by orang lamak
Harta Cahaya Mata berlambak-lambak
Dari Sungai Tutoh ke Hyde Park
Dari Mukah ke Sungai Kulak
Hutan pun banyak yang botak
Habis ditebangnya kayu balak
Dibuatnya harta anak bapak
Macam Singapura dilanggar todak
Hutan botak cuma tinggal semak
Alam sekitar banyak yang rosak

Selama ni rakyat kena bulak*
Tapi sekarang dah jadi bijak
Lihat jeraya kita teruk gilak
Tanah kitak habis dirompak
Guna bulldozer dengan jentolak
Bee Ann kamek sik maok
Snap pun kamek sik maok
Kamek takut nya jadi katak
Bila lihat wang berkotak-kotak
Kamek maok ubah Sarawak
30 tahun Pehin sudah lamak
Pehin pun sudah naik lemak

Itulah keluhan sidak sarawak
Iban Melanau Bidayuh dan Dayak
Oleh itu 16 April kitak semua tolak
Kasi kad mirah sama CM Serawak
Kertas undi jangan bagi rosak
Duit yang diberi jangan koyak
Kata orang sana jangan bisak
Barang yang diberi jangan ditolak
Itu semua sidak punya hak
Kalau Bee Ann impot Raja Kotak
Atau pun itu pekasam Raja Katak
Atau Tiga Boroi punya pelawak
Atau anak dara yang paling galak
Kitak dengar saja cerita lawak
Jangan lupa doa banyak-banyak
Lepas menang kita ramai bertandak
Poco-poco haram kata Mufti Perak
Oleh itu kita cuma jerit dan sorak
Kita minum kelapak dan air liyak
Jangan minum mabuk punya tuak
Selepas itu kita jalan-jalan berarak
Tidak mustahil Tuhan tolong kitak
Walaupun duit mereka banyak
Walaupun jentera mereka berselerak
Dari 71 kerusi dia cuma dapat limak
Tak mustahil kitak perintah Sarawak

Keris Silau
dgn kerjasama Keris Sarawak
terima kasih ajar kelaka sarawak
esok kamek belanja air masak
4 April 2011

*bulak = bohong, tipu
lamak = lama
kamek = aku
kitak = engkau
sidak = orang
sik = tak
maok = mahu
jeraya = jalan
tandak = menari
kelapak = kelapa
liyak = halia
limak = lima
bisak = koyak
kelaka = cakap

Friday, April 01, 2011

Dengar dan Fikir

Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka". (Al-Mulk:10)

Dalam khutbah ayat ini dibaca
Cerita dua ciri penghuni neraka
Bahan bakarnya batu dan manusia
Tempat yang amat-amat sengsara
Namun masih ramai yang sengaja
Apakah itu ciri-ciri yang nyata
Tidak mendengar ciri pertama
Apabila ayat-ayat Quran dibaca
Maka dia tutup telinga
Apabila dipasang lagu lagha
Maka dipasangnya telinga
Apabila berkemundang kuliah agama
Maka ditutupnya telinga
Apabila fitnah dijaja-jaja
Maka dibukanya telinga
Apabila disebut buat baik dapat pahala
Dia tidak mendengar dengan telinganya
Apabila disebut tentang dosa-dosa
Dia dengar tapi kurang percaya
Maka diakhirat telinga saksi utama

Dia mungkin dengar tapi tidak memikiri
Apabila Jepun dilanda gempa dan tsunami
Dua puluh ribu orang hilang dan mati
Walaupun Jepun canggih dengan teknologi
Namun kuasa Allah tidak dapat ditandingi
Bagi orang yang berfikir hebat ya Rabbi
Dalam kejadian langit dan bumi
Terdapat tanda bagi yang mahu memahami
Guna otak untuk fikir ciptaan Ilahi
Fikir ikut kaedah Quran dan sunnah nabi
Bukan fikir ikut suka hati dan syok sendiri
Quran kata tuduh zina bawa empat saksi
Dia fikir ayat itu tak sesuai zaman ini
Kamu fikir otak kamu lebih hebat dari Kami
Ya Allah jikalau kami dengar dan memahami
Tentu bukan neraka yang kami huni
Inilah keluhan ahli neraka esok hari
Namun bubur sudah jadi nasi
Tak boleh nak retro kembali
Maka neraka lah akan kamu diami
Bagi mereka yang dengar dan fahami
Masuklah ke syurga Ku Jannati
Semoga menjadi pengajaran buat diri ini
Serta kawan-kawan dan juga famili
Pengajaran dari khutbah yang disampaikan DD

Keris Silau
1 April 2011

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
"Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
"Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
Surah Yaseen (60-63)





_