Thursday, June 29, 2006

Tiada Kitab Setanding Al-Quran

(dedikasi khas kepada DD yang senantiasa memberi pesan)

Tiada tuhan melainkan Allah
Muhammad itu Pesuruh Allah
Itulah ia kalimah shahadah
Jadilah kita seorang Muslim atau Muslimah
Justeru kita mengaku akan keesaan Allah
Begitu juga dengan al Quran Kitabullah

Al Quran ada 6236 ayat-ayat dari Allah
Mempunyai 30 Juzuk dan 114 Surah
Pembuka al Quran ialah Surah alFatehah
Sebagai huda atau petunjuk kepada ummah
Terkandung perlembagaan dan shariah
Ilmu yang luas tidak kira di dunia atau akhirah
Kisah nabi-nabi dan juga Sunatullah
Merangkumi luas segala bentuk ibadah
Al Quran adalah penyelesai segala masalah

Justeru setiap kita wajib beriman dengan Kitabullah
Namun kita selalu tidak ambil kisah
Kita letakkan al Quran disebelah
Kita letakkan di satu penjuru rumah
Cuma mengumpul habuk sampah
Diambil baca cuma pabila ada janazah
Kita gantung pula didinding rumah
Sebagai pendinding bersama jampi serapah
Kita jadikan ia salah satu hiasan rumah
Atau cuma sebagai hantaran akad-nikah
Setiap tahun kita tandingkan ia di Musabaqah
Juara dapat wang dan umrah ke Makkah

Al Quran kita tidak berapa nak endah
Di awal pagi kita suka baca suratkhabar dari Kitabullah
Suratkhabar penuh berita sensasi dan jenayah
Suratkhabar penuh berita hiburan dan sampah
Namun kita boleh berjam-jam mentelaah
Terutama mereka yang pencen tak ada kerja di rumah

Alangkah bagusnya kita tukar keutamaan
Membaca al Quran bukan baca Koran
Mendalami isi dan makna barulah berkesan
Bukan hanya untuk menyedapkan bacaan
Atau hafal untuk tujuan kemashuran
Kerana alQuran adalah mukjizat Tuhan
Diturunkan Allah dalam bulan Ramadan
Sebagai satu petunjuk dan juga panduan
Relevan sepanjang masa dan zaman
Tiada satu kitab pun setanding al Quran!


Sekadar pesanan,
Keris Silau

No comments: