Aku dibawa menaiki seekor kuda
Kuda terbang membawaku ke sebuah negara
Aku nampak negara itu di sinari cahaya
Cahaya menerangi negara Malaysia
Di kala itu perayaan 100 tahun merdeka
Perdana Menteri membaca Ucap Utama
Katanya rakyat Malaysia harus berbangga
Kerana Malaysia bersih dari segala gejala
Gejala rasuah peninggalan datok nenek kita
Telah dapat dibenteras dengan kerjasama semua
Disebut satu-satu perasuah-perasuah ternama
Aku cuma kenal beberapa nama
Di kala itu BPR bebas dari telunjuk siapa-siapa
BPR tidak pilih ikan sebesar mana untuk didakwa
Ikan bilis atau ikan jerung sama sahaja
Ikan yang guna kuasa dan kedudukan pun kena
Hatta ikan yang suruh Kastam pejam sebelah mata
Sebelum merdeka di adakan pilihanraya
Setiap parti dibenarkan menggunakan media
Tarikh pilihanraya sudah tetap kejutan tiada
Parti yang terbesar ialah parti berbilang bangsa
Parti berasaskan kaum tak dapat diterima
Oleh rakyat yang semakin cerdik dan bijaksana
Politik sempit sudah berkubur di pusara
Sebelum pilihanraya diadakan debat perdana
Tiada kecaman peribadi macam zaman kita
Pengundi-pengundi hantu sudah meninggal dunia
Ahli parlimen pun nampak hebat-hebat juga
Tiada lagi macam MP yang hina wanita
Atau yang suka jerit bodoh di dewan yang mulia
Atau MP yang jawab Tak Tau kepada pemberita
Atau MP yang salahkan Tuhan apabila banjir melanda
Atau MP-MP yang berperangai macam kera
Aku lihat ramai sungguh remaja
Bukan di tempat hiburan tetapi di mana ya?
Kalau zaman ku tentu Akademi Fantasia
Oh rupanya di padang universiti Malaya
Menikmati kebebasan untuk bersuara
Tiada lagi akta kolot yang mengokong mereka
Pensyarah juga nampak turut serta
Aku Janji sudah ditong sampah rasanya
Pelajar begitu kreatif dan selalu bertanya
Tak sama seperti pelajar zaman PM kelima
Pelajar masa tu terkongkong tak berani bersuara
Cuma dikerah belajar untuk lulus periksa
Bukan untuk memenuhi ilmu di dada
Dan nampaknya pelajar begitu mesra
Tidak kira yang Melayu Cina atau India
Belajar dan bermain sama-sama
Tak dapat aku membezakan mereka
Zaman ku polarisasi begitu ketara
Berkelompok dan tidak bertegur sapa
Oh alangkah indah negara Malaysia
Rakyat hidup dengan aman sentosa
Malaysia antara negara yang maju didunia
Indeks jenayah antara terendah di dunia
Sudah lengang dan kosong penjara-penjara
Tiada lagi tahanan ISA di Kemta
Tak masuk akal tahan tanpa bicara
Satu akta yang zalim dibuat oleh manusia
Begitu hebat prestasi sukan negara
Begitu juga pasukan bolasepak Malaysia
Mereka terunggul dan menjulang Piala Asia
Tidak seperti zaman ahli politik pegang kuasa
Masa tu kita kena sepak dengan China dan Korea
Bukan setakat tu malahan kalah dengan Singapura
Oh hebat dan jaguh negara kita
Ramai orang kaya tetapi pemurah sentiasa
Sedang aku tersenyum dan ketawa
Tiba-tiba aku bangun dan terjaga
Oh aku mimpi rupanya!!
Keris Silau
7 August 2007
Tuesday, August 07, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment