Tuesday, February 06, 2007

Salah Siapa?

Salah siapa
Jikalau kita ditimpa bencana
Salah siapa
Jikalau banjir melanda
Salah siapa
Jikalau Allah menurunkan bala
Salah siapa
Jikalau rosak harta-benda

Jangan kita menuding siapa-siapa
Tengoklah ke dalam diri kita
Selama ini kita leka dan alpa
Kita asyik berhibur dan berpesta
Kita bergelumang dengan dosa
Asyik sibuk dengan urusan dunia
Lupa kepada kuasa Allah Taala
Mungkar berlaku didepan mata
Namun kita tidak rasa apa-apa
Kita sombong bongkak dan bangga
Kita ingat bumi ini kita yang punya
Kita sangsi dengan Maha Pencipta

Kita sendiri yang mengundangnya
Kita rosakkan alam semesta
Kita potong bukit bagi rata
Tumbangkan pokok ikut suka
Kita hapuskan haiwan melata
Kita cemarkan langit dan cakerawala
Cuaca sudah jadi tak tentu hala
Keluarlah nama El Nino dan La Nina
Ini Global Warming punya fenomena
Cair habis ais di Artik dan Antartika
Sungai juga jadi sempit di muara
Sebab kita campak segala-galanya
Sampah sarap dan semua sisa-sisa
Berlakulah banjir kerana tangan manusia

Allah beri peringatan buat kita
Mungkin ini juga ujian Allah Taala
Supaya kita sedar adanya Dia
Kita hanyalah kerdil dan tidak berkuasa
Angkatlah tangan berdoa
Semoga Allah mengampuni dosa
Semoga Allah mengasihani hamba-hamba
Yang kerdil lagi hina
Yang sentiasa lupa dan alpa
Mohon kami ingat padaMu sentiasa
Ketika susah senang bila-bila masa
Moga kami tergolong sebagai ahli syurga
Dan moga Kau jauhilah kami dari neraka.

Keris Silau
6 Februari 2007

No comments: