Thursday, November 16, 2006

Wanita, Takhta Dan Harta

Ramai yang tertanya-tanya
Bagaimana nak pergi Mongolia
Dah tak mau ke Australia
Mereka sebenarnya tak sangka
Perempuan secantik Altantuya
Ramai rupanya di Mongolia
Negara diantara Rusia dan Cina
Sebelum ini terkenal dengan wira-wira
Kublai dan Genghiz Khan memang ternama
Menakluki sebahagian besar Asia

Namun kita sedih mendengar berita
Polis jumpa mayat berkecai seorang wanita
Diletakkan bom dibadan ala alQaeda
Dengan slogan Malaysia pun boleh la
Hancus luluh seluruh anggota
Tak pernah lagi berlaku di Malaysia
Lalu kita dikejutkan pula
Dengan penangkapan suspek utama
Eh apa nama dia
Something to do with Baginda
Diparade dengan Black Maria
Sungguh kita tak sangka
Namun kita jangan tuduh dia
Masih belum bersalah tanpa bicara
Kalau kita apa salahnya kawin dua
Marah lah juga bini pertama
Habis kuat kena baling periuk belanga
Tu pun setakat sebulan dua
Lepas tu hidup bahagia semula
Tak payah meletupkan madu dia
Buat habis karan aja

Lelaki bisa jatuh kerana tiga perkara
Iaitu wanita, takhta dan harta
Konflik di atas adalah kerana wanita
Baru-baru ni Datuk Z jatuh pasal harta
Sombong dan salah guna kuasa
Sehingga Sultan Selangor murka
MP Jasin pula suruh Kastam pejam sebelah mata
Juga kerana nak jadi lebih kaya
Senator Kelantan palsukan AP kereta
Juga kerana nak kumpul harta
Mana UMNO nak letak muka
Satu persatu didedahkan oleh media
Indeks korupsi jatuh berapa anak tangga
Jatuh dikala kepimpinan cucu tokoh agama
Jauh lebih teruk dari negara Singapura
Baguih sikit dari negara Indonesia
Mana dia Kasitah dan Eric Chia
Dulu nak lawan rasuah macam iya iya
Sekarang habuk pun tara...

Keris Silau, 16 November 2006.

Wednesday, November 01, 2006

Satu Untuk Engko Satu Untuk Aku

Bila PM dan ex-PM setuju untuk berjumpa
Ramai yang menarik nafas lega
Mungkin tamatlah TunM-Pak Lah saga
Berlangsung pula dalam bulan puasa
Dua tiga hari sebelum sambut Raya
Namun ramai yang mulai hampa
Pabila TunM menibai Pak Lah semula
Dia tuduh Pak Lah buat Daulah Polis Diraja
Tetapi dia tak sedar pada zaman dia
Polis FRU pukul reformis dengan cota
Sampai berdarah dan pecah kepala
Kurung reformis dua tiga tahun lamanya
Pada zaman dia Anwar kena lebam mata
Peristiwa yang semua orang tak lupa
Semua tak berani nak kritik atau mengata
Kalau sokong Anwar kena diam-diam aja
Tidak kalau kena pindah ke East Malaysia
Khatib dilarang sentuh bab pejuang dipenjara
Ustaz-ustaz pun ada yang kecut juga
Dalam kuliah-kuliah Siput Babi ambik nota
Apa tuan-tuan semua sudah lupa
Nak dengar ceramah sembunyi di pokok kelapa
Takut dituduh bersubahat menggulingkan negara
Nak tulis di internet semua pakai nama samaran belaka
Takut diheret dalam van polis depan keluarga

Tetapi kalau Pak Lah meneruskan itu semua
Kita boleh kata dua kali lima
Nasib baik Pak Lah bebaskan tahanan Isa
Walaupun sudah tiga tahun dia memegang kuasa
Lambat juga nak sign sampai balik dari Amerika

Apa yang Tun M kata lagi
Dia sebut pasal Kamaludin dan Scomi
Scomi dapat projek besar carigali
Dan ECM Libra yang dibabitkan dengan Khairi
Pak lah menyangkal dakwaan ini
Pak Lah kata apa kurangnya Mirzan dan Mokhzani
Anak aku ada kapal dan kapabiliti
Tapi anak TunM perabis duit MISC
18.9% itu adalah Bumiputera punya ekuiti
Tapi puak-puak ni yang majoriti
Takat niaga getah skrap dan ikan keli
Takat ada dua tigi biji properti
Tak masuk lah dalam 18.9% ekuiti
Kekayaan negara cuma dimiliki kroni
Hang dan aku tak dapat faedah NEP
Jangan harap nak dapat percuma punya AP
Cuma dapat biasiswa pergi luar negeri
Tima kasih kat Tun Razak punya polisi
Tima kasih dah ucap banyak kali
Bukan tidak reti mengenang budi
Tapi penyelewengan mesti dihenti
Dan segala bentuk salahguna dan korupsi

Keris Silau
9 Shawal 1427.

Tuesday, October 31, 2006

Pemimpin Seringgit Lima Kupang

Khir Toyo sudah mula melatah
Pasal salahlaku anak buah
Tanpa permit Tok Karia bina rumah
Bukan rumah tetapi istana mewah
Di dalam kawasan golongan menengah
Lari dari bayar cukai pintu dan hasil tanah
Sultan Selangor pun murka dan marah
Dipanggil Tok Karia mengadap merafak sembah
Tok Karia kata dia sakit sebab baru balik umrah
Tapi suratkhabar Star dan NST terus dedah
Tok Karia ada di Melaka bersantai dan riadah
Bohong Sultan ini sudah melampau dah
Sultan nasihat jangan sombong dan bongkak lah!
Sedarlah kamu dulu cuma buruh ambik upah

Itu dia baru satu contoh pemimpin tak amanah
Dulu ada pemimpin seleweng projek rumah murah
Wang PPRT untuk golongan berpendapatan rendah
Walaupun memimpin untuk Tabung Amanah
Tapi didapati sudah pecah amanah
Kita dok berbuih mulut suruh ikut sunnah
Tetapi duit rakyat yang mereka punah
Janganlah dok harap nak masuk jannah
Masuk neraka jahanam wanauzubillah

Tun M dan Pak Lah masih bertelagah
Tun M kata Kamal kaut negara punya khazanah
Anak-anak TunM sapu lagi banyak kata Pak Lah
Jawapan kurang cerdik wahai Pak Lah
Makna kata betul lah kata mantan dari Kedah

Rakyat sekarang sudah tahu tembelang
Disebalik Cemerlang Gemilang Terbilang
Kekayaan negara sudah banyak yang hilang
Bukan dicuri toyol, hantu dan jembalang
Tetapi di sapu oleh petualang-petualang
Kita hanya fokus adun Pelabuhan Klang
Tetapi kita lupa di Putrajaya dan Lembah Klang
Habis duit Petronas sudah banyak kulang
Dirampok oleh AB (Ali Baba) punya olang
Nasib rakyat Malaysia begitu malang
Dapat pemimpin seringgit lima kupang!

Keris Silau
8 Shawal 1427.

Saturday, October 21, 2006

Selamat Hari Raya Kelas Pertama

Tahniah kepada anda semua
Tahniah kerana menghabiskan puasa
Tahniah kerana tahan lapar dan dahaga
Tahniah kerana mengerti perasaan mereka yang menderita

Tahniah kerana menundukkan nafsu dan menguatkan jiwa
Tahniah kerana banyak bersabar sepanjang puasa
Tahniah kerana memberi makan orang yang berpuasa
Tahniah kerana bersedeqah kepada faqir yang merana

Tahniah kerana tidak mengumpat atau mengata
Tahniah kerana jaga mulut dan mata
Tahniah kerana tidak bohong dan berdusta
Tahniah kerana solat jemaah di masjid bersama

Tahniah kerana tidak terlepas solat subuh di masjidsepanjang bulan puasa
Tahniah kerana malaikat-malaikat menurunkan sayapnya
Tahniah kerana taraweh dengan sempurna
Tahniah kerana tidak tinggal witir satu rakaat atau tiga

Tahniah kerana qiyamulail di malam buta
Tahniah ketemu lailatul qadar penghapus dosa
Tahniah kerana doa anda diterima Allah taala
Tahniah kerana mengerjakan umrah di bulan puasa

Tahniah kerana tadarrus al Quran petunjuk bagi manusia
Tahniah memahami ayat-ayat dan makna-makna
Tahniah kerana sudah mencapai matlamat menjadi orangyang bertaqwa
Tahniah kerana tamat Universiti Ramadan dengan IjazahKelas Pertama !

Keris Silau
26 Ramadhan 1427H

Tuesday, October 17, 2006

Kemungkaran Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan bulan istimewa
Bulan kita refleksi hati dan jiwa
Memohon ampun akan dosa-dosa
Namun bulan ini dicemari noda
Penghormatan sudah tiada
Walaupun bulan yang mulia
Manusia gila terus berpesta
Di JB remaja sambut Haloween pula
Sampai mabuk campur jantan betina
Teruk betul muda mudi kita
Mat Rempit pula tak kira masa
Race motor tengah malam buta
Qiyamulail tak ada dalam agenda
Sampai berbunuh sesama mereka
Tapi ada pula membela mereka
Yang menamakan diri mereka Putera
Semakin dibela semakin mengganas mereka
Balai polis dibaling batu dan kaca
Hempuk helmet ke atas cermin kereta

Ya Allah zaman sekarang makin mencabar
Maafkan kami membiarkan Ramadan tercemar
Kami seolah tak mampu lagi menghalang mungkar
Berleluasa dari kampung hingga pusat bandar
Lagu-lagu ajak beraya aja yang disiar
Seorang artis pun tak suruh cari LailatulQadar
Peniaga pula asyik cari untung besar-besar
Gantung ayat laris niaga ayat 1000 dinar
Itu yang mereka tahu Ringgit dan Dinar
Bukan maksud ayat yang memberi iktibar

Manakala orang politik asyik bertelagahan
Reda sedikit mungkin pasal Ramadan
Tapi sakit hati juga dengar penjelasan
Macam istana zakaria di Pandamaran
Buat rumah tanpa mendapat keizinan
Tapi itu bisa diurus sebab kukuh kewangan
Tapi bukan itu yang kita pertikaikan
Soal moral dikalangan politik atasan
Soal buat istana dikeliling golongan pertengahan
Soal tiga bersaudara jadi ahli majlis perbandaran
Oh banyak sungguh penyelewengan
Seperti kisah AP palsu melibatkan father and son
Tak berapa cerdik si bapa beri penjelasan
Dia kata anak dia patut belajar buat penipuan
Ini baru dua kes suratkhabar buat pendedahan
Yang lain mana kita tahu kita rakyat kebanyakan
Daripada projek buat topi dan jambatan
Di London nak bina satu komplek sukan
Atau beli jet-jet Rusia ditawarkan satu angkasawan
Yang tu bukan namanya angkasawan
Yang tu pergi melancong tengok bintang dan bulan
Pasal nak bawa teh tarik dan roti canai itu sebenarnya
tujuan
Bukan nak buat experimen sains gunaan
Melingkup lah negara kita pasal puak yang kerakusan
Puak-puak yang begitu nipis keimanan
Rakyat dibohong pimpinan kaut kekayaan

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Belajar cakap bohong
Lama-lama boleh jadi menteri


Keris Silau
24 Ramadan 1427

Thursday, October 12, 2006

Tak Posa Tak Boleh Raya

Bulan Puasa bulan menahan diri
Makan minum mesti kita hindari
Juga bersetubuh di siang hari
Tak boleh lakukan perbuatan keji
Mengumpat, berbohong atau main judi
Semua ini ada hikmah tersendiri
Membentuk disiplin membina peribadi
Agar menjadi Mukmin yang suci
Banyak ganjaran di akhirat nanti
Udghulu fi ibadi wad ghulu jannati
Allah jemput masuk syurga Firdausi

Begitulah istimewa bulan Ramadan
Tidak sama macam lain-lain bulan
Mukmin banyak tingkatkan amalan
Solat taraweh ada buat 20 atau 8
Tak apa jangan kita perselisihkan
Yang penting kita buat berterusan
Dituntut untuk bertadaruus alQuran
Di masjid di surau dan di pesanteran
10 malam terakhir lakukan pecutan
Bangun malam solat tahajud dikerjakan
Temui lailatul qadar puncak kejayaan
Agar allah memberi pengampunan
Selamat dari neraka dan siksaan

Namun di bulan ini banyak pembaziran
Bercambah-cambah gerai jualan
Orang kita panggil Pasar Ramadan
Seolah-olah macam pesta makanan
Tengok semua sedap untuk ditelan
Nafsu tidak dapat ditundukkan
Hilang habis hikmah Ramadan

10 malam terakhir tingkatkan amalan
Tapi kita sibuk buat persiapan
Dah nak sambut raya besar-besaran
Sibuk shopping Jln Tunku Abdul Rahman
Malam letih taraweh dilupakan
Dan masa ni artis-artis pun kesibukan
Rakam program rancangan hiburan
Terkinja sana sini ala Hindustan
Bergoyang habis satu badan
Lalu ucap Selamat Hari Lebaran
Aidil Fitri ialah hari kemenangan
Apa yang dia menang kita pun hairan
Menang meraikan kepulangan setan
Depa raya sampai sebulan

Ingat Raya Puasa cuma sehari
Bukan macam hari raya haji
Oleh itu sambung puasa 6 hari lagi
Rasul tak pernah ajar Konsert Aidilfitri
Terkinja sana terkinja sini menyanyi
Jauhilah kemungkaran di Aidil Fitri.

Keris Silau
18 Ramadan 1427

Friday, September 29, 2006

Puasa Yang Membawa Berkat

Salam Muslimin dan Muslimat
Seterusnya Mukminin dan Mukminat
Ramadan penuh dengan berkat
Bagi meningkatkan amal ibadat
Bertaraweh menambah fadhilat
Ttilawah alQuran mesti ditingkat
Qiyamulail di malam yang pekat
Lupa jangan membayar zakat

Puasa membuatkan badan sihat
Fikiran lebih cerdas dan hebat
Tetapi ada beberapa syarat
Kurangkan makanan tak berkhasiat
Nasi, kueh, pulut tinggi karbohidrat
Jangan bedal banyak sangat
Nanti taraweh badan jadi berat
Nak rukuk pun agak lambat
Nak bertahajud pun tak larat
Sahur pun terlepas dah lewat

Buka dengan kurma dan salawat
Dan buah yang banyak serat
Kemudian tunaikanlah dahulu solat
Jamahlah sedikit kalau lapar sangat
Ikutlah amalan Rasul dan para sahabat
Semoga sihat akal, ruh dan jasad
Baharulah puasa yang membawa berkat
Penuh dengan hidayah dan nikmat

Jauhilah terus dari amalan maksiat
Terutama sekali mengata dan mengumpat
Di pasar, di ofis, atau ditengah masyarakat
Makan rashwah pun tak akan selamat
Tak berkat rezeki dunia wal akhirat
Pakailah pakaian sopan menutup aurat
Elakkanlah pakai baju nampak pusat
Terlalu seksi atau terlalu ketat

Hindarilah amalan kurang sehat
Yang tidak membawa faedah buat umat
Seperti main dam di kedai kopi Pak Saat
Atau pergi lepak di bawah jejambat
Pantang awek lalu semuanya dingorat
Yang bertudung atau berambut karat

Elakkan bergelimpangan di surau pejabat
Malu kat orang yang belum bersunnat
Puasa sebenarnya membuatkan kita sehat
Bukan letih atau lembik tak larat

Faqir-miskin dibantu dengan zakat
Semoga mereka dapat sedikit nikmat
Ajar keluarga berjimat-cermat
Dan tingkatkan amal ibadat
Keredhaan Allah itulah matlamat.

Janganlah bangga kalau tak puasa
Hisap rokok tangan di luar kereta
Langsung tak hormat bulan mulia
Walaupun tak ada penguatkuasa
Tapi Maha Kuasa melihat kita
Di akhirat nanti habis diperiksa
Dipratonton balik semua cerita
Beli nasi siang hari di Pelita
Makan nasi kandar dalam kereta
Takutlah kita kena seksa
Puasalah dan bertaubatlah segera

Ramadan Kareem dari
Keris Silau, 4 Ramadhan 1427H
www.kerissilau.blogspot.com

Dari archive Keris Silau:
Ramadan, Kehadiran mu dinanti

Ramadan, kehadiran mu dinanti
Bulan yang membawa pelbagai janji
Jikalau kita ikhlas berpuasa setiap hari
Bayangkan bau mulut kita umpama kasturi
Puasa juga menyihatkan racun ditoksifikasi
Penyelidikan pakar perubatan sudah diperakui

Puasa itu penawar pembersih hati
Setiap masa terluang jangan lupa untuk diisi
Banyakkan amalan di siang dan malam hari
Baca alQuran dan faham isinya sekali
Berzikir selepas subuh sehingga terbit matahari
Hulurkan sedeqah walaupun belum dapat gaji
Solat fardu dan taraweh bersama famili
Rumah bak umpama cahaya yang menerangi
Keberkatan Ramadan betul-betul dihayati
10 malam terakhir lailatulqadr hendaklah dicari
Supaya dosa-dosa diampun Illahi

Puasa itu membentuk peribadi dan jati diri
Ajar anak yang kecil puasa sekerat hari
Supaya mereka dapat membiasakan diri
Jangan sampai umur 15 puasa tak cukup 30hari

Janganlah malakukan perkara yang tidak bererti
Main chess dan dam sampai naik haji
Solat fardu ditinggal, solat taraweh dituruti
Mulut masih bercakap perkara yang dikeji
Bergelimpangan disurau sampai keluar air liur basi
Di pasar Ramadan mata berkeliaran sana-sini
Membeli juadah dan berbuka ikut nafsu nafsi
Berbuka biar sederhana ikut cara nabi
Inilah nasihat KS untuk kawan dan diri sendiri
Semoga bermanafat, kalau silap minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Keris Silau , Penang
5 Ramadan 1425H

Tuesday, September 19, 2006

Artis Khalwat

Ada lagi artis kena tangkap khalwat
Bekas pengacara nona pun juga terlibat
Walaupun cincin di jari masih melekat
Dah macam sinonim artis dengan maksiat
Jadi celebriti cabaran memang hebat
Nak sentiasa glamor baru ramai peminat
Rambut hitam tak sah, kena rambut karat
Subang tak letak kat telinga tapi kat pusat
Dahi kena lincin tak boleh ada jerawat
Sebab tu enjek botox agar muka berkilat
Baju pun kena yang singkat-singkat
Kena ropol-ropol dan bertingkat-tingkat
Walaupun mai dari Kokdiang cakap kena pelat
Malu lah orang tau mai dari Paya Darat
Dulu dok kampung asyik dok naik beskat
Tak dak kerja ambik upah cuci makgat
Dulu jarang pakai baju cuma pakai kain pelikat
Tapi bila dah glamor lupa habis suku sakat
Lupa macam mana nak makan halua maskat

Namun tak semua artis buat aktiviti tak sihat
Ada yang baik rakam zikir-munajat
Macam Raihan rakam nasheed qudrat iradat
Dan ada yang kawin elok-elok ya qadzial hajat
Walaupun kawin dengan kadi Narathiwat
Kira sah lah tu kita tak nak komplen sangat
Elok artis diberi motivasi oleh pakar nasihat
Walau ada yang rebus tak empuk macam daging liat
Nasihati mereka supaya sentiasa jaga solat
Kan depa dok keriau “wahsini” kuat-kuat

Keris Silau
19 September 2006

Tuesday, September 12, 2006

Lawan Hantaran

Musim kahwin is over already
Thank God no more kenduri
Bukan kita nak tolak rezeki
Dijamu kambing dan nasi briyani
Makanan yang berlemak tinggi
Takut block dalam coronary artery
Habis tu kena open heart surgery

Well, it’s over for Dato K and Siti
No more lavish and grandeur party
Both now are enjoying moment of intimacy
Menyesal tak kahwin awal-awal lagi
Yang best tu someone try to be celebrity
Dato R spent about RM444,444 in dowry
Buy BMW for his wife by the name of Putri
But someone said he owed people a lot of money

Another episode of berita sensasi
Disiarkan di muka depan lagi
There are moreimportant issue and priorities
This shows Melayu suka membazir dan membangga diri
Suka hiburan dan menyanjung celebriti
Palestin Lubnan Afghanistan tak berapa peduli
Instead of spending so much money
In the grandest wedding ceremony
Why don’t we help those needy
In Baling lying people in poverty
Ibu tunggal anak sembilan masih kecil lagi
Ambil upah motong untuk sesuap nasi
And in Kemboja, Acheh, Jawa Barat and Pattani
Please show that we care and sympathy

Sempena Ramadan yang bakal menjelang nanti
Hidupkan semula budaya membantu dan solidariti
Majlis perkawinan yang mewah bukan sunnah nabi
Zuhud dan tawadukllah sikit walaupun itu hak peribadi
In the hereafter you will be question how you spend the money
Every single cent will be audited by the Almighty
Walaupun duit songlap dan hasil judi
Tapi bukan saya minta ada orang sponsor bagi
Well, Allah Maha Melihat dan Mengetahui!

Keris Silau
12 September 2006

Friday, September 08, 2006

Taik Hidung Masin

Pemimpin Melayu tidak amanah
Kebanyakkan lembik dan lemah
Langsung tidak fikir masalah ummah
Atas nama Melayu depa dapat tanah
Kononnya nak majukan projek rumah murah
Jadi depa dapat beli tanah harga murah
Buat syarat 2-3 biji flat kos rendah
Yang lain buat projek kedai dan rumah mewah
Mana mampu Melayu beli kebanyakkan orang susah
Pemimpin untung buat banglo berjuta tengah sawah
Dikelilingi rumah kampung beratapkan nipah

Inilah Melayu yang pentingkan kocek dari ummah
Sebab tu rebut jawatan untuk bermegah-megah
Pemimpin macam ni nak juang nasib ummah?
Tuduh CM tidak peduli nasib Melayu yang susah
Tetapi depa lah taik idung masin mentah kedarah

Kita ni naive pergi minta sedeqah
Nak kumpulkan dana bangunkan sekolah
Atau untuk Palestin lawan Israel laknatullah
Atau untuk anak yatim di Banggol Kiat Kedah
Langsung kontraktor kelas satu buat tak endah
Seduit nak keluar kocek pun cukup punya susah
Melainkan kalau kita ada kabel dengan pemerintah
Satu juta pun boleh bagi untuk golf tak ada masalah

Kita nak bagi tau yang bagi rezeki ialah Allah
Bukan Menteri-menteri dan juga Pak Lah
Kepada Allah kita mohon rahmah dan barakah
Rakyat atau orang melayu tak akan susah
Kalau mereka punyai pemimpin yang amanah
Bukan mereka yang perlahap kaki rasuah
Guna sentimen perkauman tanda assabiyah
Keluarkan keris tanda dia cukup gagah

Mereka ni sebenarnya tamak haloba
Kalau benar-benar nak tolong bangsa
Buktikan kat kita bukan cakap saja
Rebut jadi pemimpin bukan apa
Sebab senang masyuk kocek depa

Ingatlah amanah Allah taala
Nanti masuk kubor jenuh kena
Malaikat tanya Marabooka
Takut tersasul jawab Ringgit Malaysia.

Keris Silau
7 September 2006

Friday, September 01, 2006

Obsessi-Celebrity

Zaman sekarang merupakan zaman obesessi-celebrity
Pada senin 21Ogos surirumah semua cuti
Pasal nak tengok Siti jadi raja sehari
Anak yang nak ke sekolah tak dapat makan nasi
Sebab ikan yang nak digoreng dibawa kucing lari
Emak mereka pula sibuk terpacak depan TV
Pada malam senin 28 Ogos berebut pula stesen TV
Yang belah sini bersanding dan belah sana Ina dan Mawi
Jalan-jalan dikampung sunyi sepi
Solat Isyak di masjid cuma tok siak dan tiang seri
Tok Imam pun baca surah pendek Iza ja dan wal Asri
Sebab nak balik awal tak mau terlepas tengok Mawi
Kita hairan tv ambil kesempatan kisah peribadi
Dan yang best tu ada seorang MP
Dia kata Mawi banyak yang boleh dicontohi
Apa yang baguih sangat kita nak ikuti
Sebab pandai azan dan juga pandai nyayi?
Tapi SPM terdongkoi tak dapat masuk universiti
Itu yang kita suruh anak-anak kita contohi
Belajar tak pandai pun boleh jadi celebrity
Ilmuan dan negarawan tak nak dicontohi
Jauh sekali nak contohi baginda Nabi
Apa punya faedah sanjung artis begitu tinggi
Negara jiran cakap K-Economy, disini K-Siti
Kita bukan cemburu kat Dato K atau Siti
Kita nak bagi tau orang Melayu tak sedar diri
Biar mereka faham apa sebenarnya realiti

Siang malam program hiburan di kaca TV
Apa-apa cerita artis jadi bahan gosip terkini
Tak caya tengoklah setiap Ahad rancangan Melodi
Dan satu lagi Cit Cat bersama Azwan Ali
Cerita artis kawin dan gaduh laki bini
Apa nilai mulia yang dibawa untuk muda mudi
Keseronokan dan enjoy yang jadi prioriti
Satu hari aku syorkan you all pergi public library
You all boleh tengok dan nilai sendiri
Anak Melayu boleh bilang dengan jari
Dan you all pergi jengok KTV dibuat dalam peti
Sapa yang dok melalak penuh dengan emosi
Dan sapa yang ramai dok Pusat Serenti
Dek gejala dadah syabu ganja dan ecstasy
Dan Mat rempit race motor hingga ke awal pagi
Anak sapa kalau bukan anak Melayu sendiri

Bayangkanlah apa akan terjadi
Kalau Lubnan dan Palestin terjadi disini
Apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi
Pagi petang siang malam asyik tengok TV
Are we prepared mentally, physically and spiritually?
Allah maha Adil orang kita jarang pernah diuji
Baru diuji sedikit pada tahun 2004 dengan tsunami
Itupun kita tak mau sedar diri lagi

Wahai pemimpin sekalian tak kira mana parti
Eloklah you all berhenti bergaduh sesama sendiri
Buanglah otak kelompok punya mentaliti
Kita kena buat sesuatu mulai hari ini
Hidupkan semula masjid punya fungsi
Biar anak qaryah sendiri lantik ajk dan pengerusi
Tak payah nak loghat lantik orang parti
Lantiklah mereka yang berwibawa punya visi dan misi
Jangan lupakan remaja bakal pemimpin satu hari nanti
Buat program yang ada sedikit kreativiti
Agar mereka jadi pemimpin yang punyai jati diri
Yang berlandaskan alQuran dan Sunnah Nabi


Keris Silau
1 September 2006

Monday, August 28, 2006

Apa Erti Merdeka?

Kita sudah 49 tahun sambut Merdeka
Perdana Menteri hari ini adalah yang ke lima
Banyak yang dicapai sebagai sebuah negara
Kita ada twin towers yang tertinggi di dunia
Proton pengeluar kereta kebanggan negara
Kita juga ada F1 litar sirkit lumba kereta
Rumah papan sudah diganti rumah pangsa
Pusat kerajaan sudah dipindah ke Putrajaya
Tidak lagi di bangunan berlumutdi Damansara
Pembangunan negara menjadi agenda utama
Sungguh pesat pembangunan di merata-rata
Sehingga terpaksa impot buruh Indonesia
Dulu jalan kampung sekarang sudah ada lebuhraya
Dulu kedai runcit sekarang besar punya pasaraya
Dulu hospital kerajaan sekarang ada hospital swasta
Dahulu tv hitam putih sekarang sudah ada tv plasma
Dulu ada satu dua channel sekarang tak terkira
Kehidupan semakin mewah dinikmati semua bangsa
Tidak kira Melayu Cina atau India

Tapi itu semua pembangunan fizikal semata-mata
Di sebalik merdeka kita masih jadi hamba
Lihatlah statistik yang disiarkan media
Orang Melayu masih duduk di tempat pertama
Jadi hamba kepada dadah ganja dan marijuana
Di Pusat Serenti yang paling ramai orang kita
Kadar jenayah sudah setanding negara Amerika
Tiap-tiap hari ada kes bunuh dilapurkan di media
Kita tak dapat bayangkan anak bunuh ibu atau bapa
Tapi sekarang sudah jadi macam perkara biasa
Berlaku di kampung dan juga di kota raya

Kita jadi hamba kepada material dan dunia
Agar tercapai impian sanggup lakukan apa saja
Hatta makan rasuah dan tutup sebelah mata
Tak kira pegawai rendah atau tinggi pangkatnya
Indeks moral juga tidak ke mana-mana
Pelacuran sudah tidak dapat dikawal berleluasa
Rogol dan sumbang mahram anak dan bapa
Majalah dan video lucah ada dimana-mana
Kita jadi hamba kepada nafsu selera kita

Hiburan melampau sudah melanda kita
Jadikan artis terkinja-kinja sebagai idola
Bukan saintis atau negarawan jauh sekali ulama
Artis nak khawin buat macam majlis diraja
Disiarkan secara langsung ke seluruh negara
Elok lah tu 9 bulan lagi siarkan dia beranak pula
Lihatlah di tv siang malam muka mereka
Di suratkhabar, majalah dan papan tanda
Di negara jiran K-ekonomi sini K-Siti Nurhaliza
Itulah tanda mercu kejayaaan negara
We are living in celebrities-obsessed era

Merdeka bukan setakat mengibar bendera
Bukan setakat menyebut Merdeka Merdeka
Bukan naik motosikal ramai-ramai keliling kota
Bukan hanya tunjuk kekuatan tentera darat dan udara
Atau cuma pandai anjurkan konsert terbuka
Sehingga tengah malam artis terkinja-kinja
Syarikat arak pula sponsor arak percuma
Ini bukan cara kita sambut merdeka
Walaupun dihadiri oleh pemimpin negara
Tetapi jiwa kita masih belum merdeka

Kemerdekaan hendaklah diisi ikut agama
Hendaklah bersyukur kepada Allah taala
Lihat semula perjuangan Nabi kita
Bagaimana sahabat nabi kecapi merdeka
Merdeka dari penghambaan sesama manusia
Bilal ibni Rabah satu contoh cukup nyata
Hamba tetapi mempunyai jiwa yang merdeka
Setelah menerima nur dan hidayah Allah taala
Itulah generasi al Quran yang terulung di dunia
Islam membebaskan mereka dari cengkaman manusia
Quraish, Rom dan Parsi tumbang kepada Iman dan Taqwa
Padahal sebelum itu mereka cuma pengembala
Inilah contoh dan idola kita!

Di ambang merdeka,
Keris Silau
28 Ogos 2006

Wednesday, August 23, 2006

Seks Bebas

Statistik hari ini semakin menakutkan
Dijalankan kajian pelajar tempatan
70% pernah terlibat seks luar pernikahan
Tak ramai yang pakai “alat“ keselamatan
Hospital-hospital juga melapurkan
Lahir anak luar-nikah alami peningkatan
Itu tak termasuk kes penguguran
Berapa ramai bayi dibuang tanpa belas-kasihan
Di mana hati mereka lagi teruk dari haiwan

Manusia sudah hilang pedoman
Ummat akan menuju kehancuran
Kalau kita tidak peduli dan tidak hairan
Gejala seks bebas dan pujukrayu syaitan
Kita perlukan sesuatu mengubah keadaan
Jangan dok harap sesuatu dari kerajaan
Mereka bersikap sambil lewa lepas tangan
Malah mereka galakkan lagi hiburan
Lesen rumah urut mereka luluskan
Pelacur-pelacur China berkeliaran
VCD lucah bercambah ditepi-tepi jalan
Penguatkuasa langsung tak kelihatan
Majalah lucah banyak sungguh dipasaran
Kita pun hairan bagaimana dapat kelulusan
Filem kita pun dah banyak adegan menggiurkan

Orang kita sudah biasa dengan perzinaan
Tiada lagi yang dapat menghalang kemungkaran
Jabatan Agama pun takut ambil tindakan
Pemimpin No 1 mesti tunjuk teladan
Keluarkan pen dan tuliskan arahan
Pusat maksiat mesti segera dihancurkan
Mesti berani untuk mencegah kemungkaran
Jangan takut ekonomi negara alami penurunan
Apa guna ekonomi kuat akhlak alami keruntuhan

Sementara tu NGO Islam kena perkemaskan
Sedarkan remaja dan masyarakat tempatan
Dekatilah remaja jangan kita biarkan
Inilah bakal pemimpin masa hadapan
Kepada mereka kita harapkan
Supaya meneruskan mesej dari alQuran.

Keris Silau
23 Ogos 2006

Tuesday, August 22, 2006

Mat Saleh Celup

Semalam semasa menziarahi orang tua
Mereka tonton Festival Filem Malaysia
Ada satu artis muda yang menerima piala
Dia akan nampak bodoh katanya
Kalau dia bicara dalam bahasa ibunda
Bicara dia bahasa Inggeris pelat orang kita
Tak ada slang orang UK atau Amerika
Nama famili tak ada Smith atau Jaquelina
Sebaliknya macam nama arab nusantara
Ku tanya artis itu lahir di mana
Mana tau membesar di Jerman atau Australia
Tak pula lahir di sana mungkin di Melaka
Kenapa tak mau bicara bahasa ibunda
Mungkin tak ada standard agaknya
Atau dia teringin jadi Sofea dan Deanna
Atau mungkin teringin jadi Raja Petra
Kacukan barat dan nusantara
Mungkin dia alami krisis identiti agaknya
Tidak hairanlah dia berlakun filem Gubra

Kalau nak tau itulah artis Malaysia
Yang orang Melayu dok sanjung gila
Artis tidak lah disanjung tinggi di Singapura
Mereka lebih suka saintis berjaya sebagai idola
Di sini artis disanjung begitu mulia
Lihatlah perkahwinan disiarkan langsung di TV3
Begitu tinggi penghormatan macam perkahwinan diraja
Makcik-makcik berenti buat kerja rumah sementara
Nak tengok Siti punya cincin berlian besar mana

Inilah agenda Barat yang orang Timur laksana
Biarkan orang Melayu terhibur dan leka
Sogokkan hiburan banyak-banyak setiap masa
Terbitkan majalah lagha seperti URTV dan Mangga
Ibubapa galakkan pula anak masuk Akademi Fantasia
Beri sokongan moral sebab anak-anak suka
Anak-anak terkinja-kinja tak mengapa

Tak lama lagi kita akan sambut merdeka
Sibuk orang kita nak buat konsert terbuka
Siapa yang ramai anda semua boleh teka
Kita tak pasti adakah ini sahaja cara
Kalau gitu lambat lagi kita merdeka!

Keris Silau
21/22 Ogos 2006

Tuesday, August 15, 2006

Tak Dak Kerojer...

Musim kenduri telah tiba lagi
You all tak kena panggil ke kenduri Siti?
I was invited by Dato K punya secretary
Bukan Datok K tu tapi tapi Dato K. Sinatamby
Sorry kena kan kau orang ari ni

Begitu hebat persiapan Raja Sehari
Beli cincin pun siarkan kat Malaysia Hari Ini
Maklumlah perkahwinan celebriti
Akan disiarkan secara langsung di TV
Tak macam perkahwinan Erra dengan Yusri

Tapi Siti tak minta semua ini
Sebab ada orang nak sponsor bagi
Kalau boleh Siti nak simple ceremony
Akad nikah di masjid and small kenduri
Lagipun Dato K dah pernah menikah sekali
Buat apa nak besar-besar buang duit rugi

Media sebenarnya buat cerita sensasi
Tak ada cerita lain asyik-asyik Siti
Tak abis-abis Siti itu Siti ini
Nak report semua walaupun jumpa kadi
Baru paper boleh laku orang beli
Kalau dulu muka depan DrM vs Pak Lah Badawi
Muka belakang asyik muka Wayne Rooney
Sekali sekala muncul Shain Zulkifli
Tapi la ni depan belakang muka Siti
Mana tak jeolous Sharipah Aini
Internet pula selongkar rahsia peribadi
Tunjuk gambar tak senonoh Siti punya anak tiri
Ish ish ish apa jadi dengan hangpa ni
Itulah kerja orang Melayu masakini
Ada tugas yang lebih besar menanti
Daripada mengumpat dan busy body
Don’t waste your energy unnecessarily
Focus more on things that are noteworthy

Keris Silau
15 August 2006

Monday, August 14, 2006

Siapa Tak Sayang Anak...

Ibu bapa mana tak sayang anak
Tapi kejahilan melanda ibu dan bapak
Manjakan mereka terlalu banyak
Belikan apa yang mereka semua nak
Setengahnya membuatkan minda rosak
Computer game tidak bagus untuk kanak-kanak
Budak jadi malas cuma jari aja bergerak
Lama-kelamaan akan melemahkan otak
Di kelas tak dapat beri tumpuan kelak
Badan pun lemah dan banyak lemak
Tidak heran ramai budak besar macam badak
Obese kerana kurang aktiviti lasak
Tak ramai yang bermain takraw atau bolasepak
Permainan tradisional seperti gasing dan congkak

Program tv pula banyak tonjol kerosakan akhlak
Setiap hari anak disajikan aksi tembak-menembak
Tengok artis terkinja-kinja melonjak-lonjak
Aksi yang menghairahkan buat budak lagi galak
Aksi lemah lembut chef lelaki dalam program masak-memasak
Ada anak komplen ayah suka tengok cerita yang selak-selak
Tunjuk contoh yang tidak baik depan budak-budak
Otak anak kita macam sponge serap apa yang dia nampak
Jangan bagi tengok rancangan AF yang melalak-lalak
Dan gaya pengacara yang aku nak muntah dan muak

Kita adalah contoh dalam pembentukan akhlak
Cakap dengan anak dengan suara yang lunak
Jangan tengking sampai pecah anak tekak
Atau terlalu garang sampai mata terbeliak
Jangan tegur anak depan khalayak
Sebab kanak-kanak pun ada hayak (malu)
Sabarlah dengan perangai budak-budak

Kita beralih kepada bab makanan pulak
Sumbat apa yang boleh dimakan kerana manjakan anak
Selagi anak boleh makan dan lantak
Maaf kasar bahasa nak sedarkan abang kakak
Dari mee segera, minuman tin, roti canai dan murtabak
Kandungan gula dan karbohidrat terlalu banyak
Anak gendut dan obese penyakit mudah biak
Banyakkanlah sayur seperti timun dan lobak
“Depa tak nak makan” alasan tu mesti ditolak

Jikalau tuan-puan sayangkan anak
Ajarkan al Quran sumber pembentukan akhlak
Sumber ilmu supaya anak jadi pandai dan bijak
Tidak befikiran sempit macam dalam kotak
Supaya mereka lebih peka bukan pekak
Bersifat tawadduk tidak sombong dan riak
Tidak ikut Yahudi dan Nasara sampai lubang biawak
Ya, memang susah besarkan anak
Mereka umpama kain puteh yang kita perlu corak
Namun Islam telah menggariskan pentarbiyahan anak-anak..

Keris Silau
14 Ogos 2006

Sunday, August 13, 2006

Mencari Cinta

Pakar motivasi menasihati kita
Kalau inginkan rumahtangga bahagia
Mesti ada persefahaman dan timbangrasa
Mesti semai, pupuk dan suburkan cinta
Terus terang dengan pasangan kita
Jauhkan diri dari banyak berperangsangka
Jauhkan juga bercemburu buta
Sebaliknya suami isteri mesti saling percaya
Setiap pasangan mesti luangkan masa
Bergurau senda menambahkan mesra
Dan ada masa mendengar rintihan rasa
Jangan keluarkan topik nak kahwin dua
Kalau isteri belum boleh terima
Jangan mulakan perang dunia ketiga
Nanti terbang periuk belanga
Bengkak mata bencol kepala
Malam pula kena tidur di atas sofa

Tunjukkan kita sayang pasangan kita
Sekali-sekala singgahlah beli bunga
Atau sms kata kekanda cinta adinda
Macam baru bercinta dolu-dolu masa muda
Menghiaskan diri pakai baju lawa-lawa
Janganlah asyik kain pelikat dan telok belanga
Atau seluar pendek dan singlet cap Pagoda
Sekali sekala pakailah baju nampak bulu dada
Si isteri pulak janganlah asyik baju rama-rama
Atau berkemban dengan kain batik Jawa
Muka selalu pucat macam mayat pula
Letakkanlah lipstik yang merah menyala
Barulah suami atau isteri tergoda
Hubungan yang intim keluarga pun bahagia

Senaman boleh juga dilakukan berdua
Supaya kesihatan sentiasa terjaga
Perut boroi boleh mengundang bencana
Isteri masak yang sedap berkhasiat belaka
Terpelihara dari jangkitan penyakit merbahaya
Sekali-sekala suami masak untuk seisi keluarga
Tak kisahlah walaupun menu cuma nasi goreng saja
Jangan sekali-kali menghisap rokok di rumah kita
Kerana ianya boleh mengakibatkan keluarga derita
Asap rokok ada 4000 jenis racun bahaya
Ini untuk kita sihat dan kuat di hari tua
Jadi tak payahlah ambik Tongkat Ali atau Viagra

Inilah beberapa tips keluarga bahagia
Jangan pandang sebelah mata
Jangan kita bersikap tak kisah tak apa-apa
Jagi hati pasangan dengan berlembut tutur kata
Jangan menipu kerana itu semua jadi punca
Punca keretakan rumah tangga
Si suami jangan selalu jeling wanita
Si isteri jangan membuat tenungan manja
Kepada lelaki yang kacak bergaya
Semua itu akan mengundang sengketa

Nasihat di atas cuma secara am sahaja
Keris Silau bukan pakar kaunseling keluarga
Kalau ada masalah sila hubungi Dr. Hatta
Pakar psikatri yang terulung di Malaysia
Jangan jumpa pakar tenung nasib di kaki lima
Atau minta ubat pengasih dari bomoh Jawa
Itu semua khurafat dan sesat belaka

Keris Silau sentiasa berdoa
Supaya kawan-kawan hidup bahagia
Disamping pasangan tercinta
Kalau kebetulan dah jadi duda
Carilah anak dara atau janda yang beragama
Kalau boleh yang ada rupa dan lawa
Jangan dok teringin macam Siti Nurhaliza
Atau cari yang rupa mirip Pan-Asia
Jenuh juga kita nak jaga
Di meja mekap dua jam lamanya
Pakaian mesti yang ada jenama
Gucci, Versace LV dan Escada
Hujung bulan botak kepala
Nak bayar kredit kad bank dah minta.


Jangan marah ya:-)
Keris Silau
10 Ogos 2006

Tuesday, August 08, 2006

Aku Dan Menantuku

Semalam Pak Lah jawab segala tuduhan
Selepas berdiam diri berbulan-bulan
Ugut pula akan ambik tindakan
Sapa-sapa yang membuat tuduhan
Tanpa asas dan cerita yang bukan-bukan
Spread rumors about me and my son
Termasuklah hal peribadi dan perniagaan
Khabar angin boleh hancurkan perpaduan
Boleh membuatkan suami isteri berceraian
Tak baik buat kerja yang dikutuk oleh Tuhan
Tapi kalau Tun M buat pengumuman
Tentu air mata meleleh berderaian
Jenuh nak pujuk macam cerita Hindustan
Dia mungkin belajar dari Shah Rukh Khan

Khairy pun malas nak entertain
Khabar angin kata dia sudah kahwin
Dengan artis jelita Maya Karin
Wow bertuah juga anak Jamaludin
Apa salahnya kalau Khari kahwin lain
Kan dia bener-bener jejaka tulin
Somebody who have a look and brain
From reputable university, an Oford train
Bercita-cita besar nak jadi pemimpin
It is okay for him nak naik pelamin
Minta tolong Dato K carikan sampin
Teringin pula nak jadi pengantin
Mana tahu mulut aku masin
Amin amin ya Rabulalamin
Close one eye-lah said MP Jasin
Sister In Islam will make noise again
Jaga kamu ada hati nak kahwin lain
Nanti melayang periuk belanga dan besen

Politik Melayu macam tu lah
Suka sebar surat layang fitnah-memfitnah
Media pula memilih apa yang nak dedah
Kita pun tahu ahli politik banyak helah
Sepatutnya mereka fikirkan masalah ummah
Dari asyik cakap sapa yang depa nak nikah
Sepatutnya berusaha banteras rasuah
Dari sibuk kumpulkan kereta-kereta mewah
Dan habiskan wang dari tabung amanah
Kalau merajuk terus saja buat umrah
Ada juga nak honeymoon di Makkah
Kalau rakyat kritik kata kita pecah belah
Rampas masjid tak endah anak qaryah
Letakkan orang parti walaupun tak lancar AlFatihah
Buruk perangai mereka yang claim penyelamat ummah
Teruskan batal Khatib yang handal berkhutbah
Sebab mereka kata khatib kritik pemerintah
Khatib mereka lembik lena habis para jemaah
Sepatutnya masjid menjadi pusat kecemerlangan ummah
Kita buat banyak aktivit dan program mengimarah
Tapi dirosakkan oleh kerakusan parti pemerintah


Keris Silau
8/8/2006

Friday, August 04, 2006

Akhlak Remaja

Budak Melayu la ni dashat
Pakai baju pun singkat-singkat
Kadang-kadang nampak pusat
Bukan saja singkat malah ketat-ketat
Terbonjol habis yang bulat-bulat
Tak sah kalau rambut tak karat
Nak nampak macam wanita barat
Baru lah glamour dan hebat
Senang lah lelaki datang memikat
Termasuklah yang nakal dan jahat
Terjunam diri ke dalam kancah maksiat
Bergelumang dengan dosa yang berat-berat
Menari berdansa setiap malam Ahad
Enjoy goyang kepala macam ajaran sesat
Hiburan melampau mereka cukup minat
Tak ingat langsung waktu solat
Susah sekali nak buat amal ibadat
Sebab di jiwa tiada pegangan yang kuat
Silap haribulan boleh jadi murtad
Terpengaruh dengan agama sesat
Yang menghalalkan apa yang dibuat
Katanya Islam punya peraturan yang ketat
Mereka suka agama yang cuma niat
Habis kehidupan dalam gelap gelumat
Sayang ramai budak Melayu yang terlibat

Salah ibubapa yang suka bagi muka sangat
Ibubapa yang sibuk untuk ambik berat
Atau ibubapa yang tontonAF malam Ahad
Galakkan anak dalam aktiviti kurang sihat
Tiada nilai murni atau akhlak yang diperlihat
Cuma artis terkinja-kinja melompat-lompat
Itulah hobi atau aktiviti yang menjadi minat
Artis putus bertunang jadi bahan chit-chat
Artis kawin duda jadi bahan mengumpat

Marilah bentuk akhlak yang sihat
Ajar anak-anak ilmu dunia dan akhirat
Aqidah, seerah, dan feqah muamalat
Ajar jadi Abu Bakr, Umar, dan sahabat2
Memegang tali Allah dengan kuat
Jadi umat yang terbaik di alam sejagat
Bangun dan beri peringatan kepada umat
Tidak takut untuk bangun berjihad
Bukan lembik lemah tak cukup zat

Jangan tunggu lagi kita buat cepat-cepat
Ana sekadar turunkan nasihat
Untuk berkongsi pengalaman dua tiga kerat
Sebab pening tengok remaja bertambah sesat
Pening sungguh-sungguh bukan pening lalat
Risau generasi yang bakal memimpin masyarakat
Tidak mampu lagi menangkis dendam kesumat
Bangsa Yahudi dan Nasara yang keparat
Oleh itu rapatkan saf bangunkan pemuda yang kuat
InsyaAllah tidak hilang umat Muhammad!

Allahuakbar!


Keris Silau,
4 Ogos 2006

Tuesday, August 01, 2006

Baru Serbuk Lada, Bukan Bom Kimia!

Si gedebe Kelate sembur gas pemedih mata
Kepada Mantan Perdana Menteri Malaysia
Terkejut besar seluruh rakyat jelata
Tak pernah Tun M dilakukan sedemikian rupa
Tengok gambar TunM di media perdana
Nampak teruk kena sembur serbuk lada
Pengalaman yang menakutkan katanya

Para reformis membisik lega
Mereka kata padan muka
Inilah balasan Allah taala
Dulu kami disembur di Masjid Negara
Apa jenis gas sampai pedih satu muka
FRU pula pukul kepala kami dengan cota
Tak kira laki-laki dan juga wanita
Anwar kena pukul lebam biji mata
Yang pukul bekas Ketua Polis Negara
Masa kerajaan diperintah bapa Marina
Dan berapa ramai kena sumbat di penjara
Dan di Kamunting dek kerana Isa
Ditahan tanpa bicara
Dituduh mengancam keselamatan negara
Anak bini di luar hidup menderita

Tapi yang sembur Tun M bukan mereka
Mereka bukan gedebe tak tentu hala
Yang sembur katanya ahli UMNO juga
Kita bukan jenis balas dendam lama
Yang lepas buat apa nak ulang semula
Kita serah kepada Allah punya kuasa
Lagipun kita banyak beban kerja
Banyak lagi isu mendesak di dunia
Di Lubnan bukan mereka kena serbuk lada
Tapi kena meriam dan bom kimia
Rentung habis mayat tak da kepala
Terakhir ialah pembunuhan kejam di Qana’
Kasihan mangsa kanak-kanak yang tidak berdosa
Kita bayangkanlah mereka tu anak kita
Kurang hajar punya Olmert Yahudi durjana
Tapi kita dok sini tak rasa apa-apa
Masih sibuk hobi bela ayam serama
Masih sibuk siapa menang Akademi Fantasia
Alahai sibuk sebab apa Siti kawin duda
Sibuk memanjang hari ni nak masak apa
Sesungguhnya mukmin itu bersaudara
Saban hari saudara kita menderita
Di Palestin Kashmir dan juga Bosnia
Di selatan Thai dan juga selatan Filipina
Cukupkah kita cuma simpati saja
Tadah tangan teruslah berdoa
Allah selamatkan saudara kami di sana
Allah, Kau hancurkan musuh agama
Allah tolonglah sedarkan pemimpin dan raja
Mereka sebenarnya ikut telunjuk Amerika
Mereka kata Amerika paling berkuasa
Allah Kaulah Berkuasa di atas segalanya
Tiada siapa yang boleh menandingi kuasa Allah Taala!


Keris Silau
1 August 2006